Saturday, December 8, 2007
Menurut almarhum Abul A'la al Maududi, pengakuan beriman kepada Allah SWT sebenarnya boleh meninggalkan kesan ke atas kehidupan manusia. Malah katanya, orang yang tidak beriman dengan Allah SWT akan mengalami kegagalan dan kerugian yang besar.
Apakah kesan beriman dengan Allah SWT? Apakah kerugian yang dialami orang yang tidak beriman?
1. Berpandangan luas
Menurut al.Maududi, orang yang beriman dengan Allah tidak mungkin mempunyai pandangan yang sempit kerana dia percaya kepada Yang Menciptakan langit dan bumi, Pemilik alam semesta, Pemilik barat dan timur, Pemberi rezeki dan Pendidik makhluk. Dia tidak akan menemui sesuatu yang ganjil dalam alam ini kerana segala sesuatu yang ada di dalamnya adalah milik Allah. Tidak ada sesuatu pun dalam alam ini yang dapat menghalang dan membataskan rasa cintanya dan kecenderungannya untuk memberi pertolongan dan khidmat kepada sesama manusia.
Bagaimanapun pandangan seperti ini tidak mungkin ada pada orang yang menganut fahaman tuhan yang berbilang-bilang, yang beri'tiqad Allah mempunyai sifat serba kekurangan dan terbatas seperti manusia atau orang yang tidak percaya kepada Allah sama sekali.
2. Melahirkan rasa bangga dan harga diri.
Orang yang beriman kepada Allah berasa bangga sebagai manusia dan mempunyai harga diri. Dia mengetahui Allah adalah Pemilik sebenar segala kekuatan yang ada dalam alam ini, tidak ada yang memberi manfaat dan mudarat kecuali Allah, tidak ada yang menghidup dan mematikan kecuali Allah serta tidak ada yang memiliki hukum, kekuasaan dan kedaulatan kecuali Allah.
Oleh itu, keimanannya kepada Allah menyebabkan dia tidak berhajat kepada yang lain daripada Allah. Tercabut dari dalam hatinya rasa takut kepada yang lain daripada Allah. Dia tidak menundukkan kepalanya di hadapan makhluk, tidak merendahkan diri dan mengemis kepada manusia dan tidak gentar dengan kesombongan dan kebesaran manusia.
Sifat seperti ini tidak mungkin ada pada manusia yang tidak beriman dengan Allah. Antara perkara yang menyebabkan syirik, kufur dan murtad ialah seseorang mahu menundukkan kepalanya kepada yang lain daripada Allah dan menganggapnya berkuasa memberi manfaat dan mudarat. Ia takut dan bergantung harap kepadanya.
3. Rendah hati sesama manusia.
Orang yang beriman dengan Allah tidak mungkin menjadi angkuh, tidak mensyukuri nikmat dan tidak terpedaya dengan kekuatan dan kemahiran yang dimilikinya kerana dia tahu dan yakin semua itu adalah kurniaan Allah kepadanya. Malah dia sedar Allah berkuasa mengambilnya kembali apabila Dia menghendaki.
Manusia yang tidak percaya kepada Allah akan mengingkari nikmat, menyombong dan mengangkat kepala apabila memperolehi nikmat yang sementara kerana menganggap nikmat itu hasil usaha dan kecekapannya. Begitu juga orang yang musyrik menjadi sombong apabila mendapat nikmat kerana menyangka dia mendapat perhatian lebih daripada Tuhannya berbanding orang lain.
4. Jiwa yang bersih dan beramal soleh
Orang yang beriman dengan Allah yakin tidak ada jalan untuk mencapai keselamatan dan keuntungan kecuali dengan jiwa yang bersih dan beramal soleh. Kesedaran itu timbul kerana dia beriman kepada Allah yang Maha Kaya dan Maha Adil, bergantung harap segala sesuatu kepada-Nya.
Sebaliknya orang yang musyrik dan kafir menghabiskan masa hidup mereka untuk angan-angan yang palsu. Di antara mereka ada yang berkata: "Sesungguhnya anak Allab telah menjadi penebusan dosa-dosa kita kepada Bapanya."'Ada juga yang berkata: "Kami adalah putera Allah dan kekasihnya, maka Ia tidak akan menyiksa kami kerana dosa kami."Ada juga yang berkata: "Kami akan meminta syafaat pada sisi Allah kepada pembesar kami dan orang yang bertaqwa di kalangan kami.' Ada juga di kalangan mereka yang menyembahkan nazar dan korban kepada tuhan mereka dan menganggap dengan cara demikian mereka telah mendapat izin untuk berbuat sekehendak hati mereka.
Kepercayaan karut seperti itu sentiasa membenamkan orang-orang berkenaan dalam lumpur dosa dan maksiat serta lupa mensucikan jiwa dan memperbaiki amal mereka.
Orang yang murtad pula sama sekali tidak percaya adanya Pencipta mereka. Mereka tidak percaya akan diminta bertanggungiawab atas perbuatan mereka serta menerima balasan atas perbualan itu. Mereka menyangka mereka merdeka di dunia dan tidak terikat dengan sesuatu undang-undang. Tuhan mereka ialah hawa nafsu dan mereka menjadi hambanya.
5. Tidak berputus asa dan hilang harapan
Orang mukmin tidak mudah dihinggapi rasa putus asa dan hilang harapan dalam apa keadaan sekalipun kerana dia beriman kepada Yang Memiliki langit dan bumi serta Yang Memiliki nikmat dan kurniaan yang banyak. lman memberikan ketenteraman yang luar biasa pada hatinya. lman mengisi hatinya dengan ketenangan dan harapan meskipun dia dihina di dunia dan diusir dari semua pintu kehidupan sehingga kelihatan jalan hidupnya sempit dan seluruh saluran kebendaan terputus daripadanya. Dia yakin Allah tidak pernah terlena dan tidak membiarkan hidupnya terlantar. Oleh itu dia sentiasa mencurahkan tenaganya dengan bertawakkal kepada Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya dalam semua urusan.
Ketenteraman hati dan ketenangan jiwa seperti ini tidak mungkin dimiliki kecuali dengan aqidah tauhid. Orang kafir, musyrik dan mulhid (athies) mempunyai hati yang lemah. Mereka bersandar kepada kekuatan yang terbatas. Maka alangkah cepatnya mereka dihinggapi rasa putus asa ketika menghadapi kesukaran. Kadangkala mereka sanggup membunuh diri.
6. Memiliki hati dan pendirian yang teguh
Iman kepada Allah mendidik manusia dengan kekuatan yang besar, bulat, tekad, berani, sabar, tabah dan tawakkal ketika menghadapi perkara besar di dunia demi mengharapkan keredaan Allah. Dia yakin kekuatan Allah yang memiliki langit dan bumi menyokongnya dan membimbingnya dalam setiap aspek kehidupan. Oleh itu hatinya menjadi lebih teguh, tabah dan keras daripada keteguhan, ketabahan dan kekerasan gunung. Hampir tidak ada suatu musibah dalam dunia yang dapat melawan tekad yang telah dibuatnya. Bagaimanakah syirik, kufur dan mulhid dapat menentang kekuatan dan ketabahan seperti ini?
7. Berani dan tabah
lman kepada Allah menjadikan manusia berani dan mengisi hatinya dengan ketabahan. Ada dua perkara yang menjadikan seseorang manusia itu pengecut dan lemah
semangat. Pertama, cinta pada diri, harta dan keluarganya. Kedua, percaya bahawa ada yang lain daripada Allah yang dapat mematikan manusia dan dia tidak dapat menolak kematian itu dengan sebarang tipu daya.
Bagaimanapun iman kepada Allah dapat mencabut kedua-dua perkara itu daripada hati manusia dan membersihkannya daripada daki-daki dengan sebersih-bersihnya. lman dapat mencabut yang pertama dengan menjadikan dia yakin bahawa Allah adalah satu-satunya Pemilik diri, harta dan keluarganya. lman menjadikan dia sedia berkorban untuk jalan dan keredhaan Allah. Dia sedia berkorban dengan segala sesuatu yang ada padanya sama ada yang mahal mahupun murah.
lman juga dapat mencabut perkara kedua dengan menanamkan ke dalam iiwa manusia bahawa tidak ada seorang manusia atau seekor binatang pun yang dapat merampas hidupnya, tidak juga bom atau meriam, pedang, batu atau kayu, sebaliknya hanya Allah yang berkuasa berbuat demikian. Allah telah menetapkan waktu bagi kematiannya. Tidak ada satu kekuatan pun dalam dunia ini yang dapat mempercepatkannya.
Oleh itu, tidak ada orang di dalam dunia yang lebih berani daripada orang yang beriman kepada Allah. Satu bala tentera sekalipun tidak dapat menakutkan atau menggentarkannya kerana ketika dia maju untuk berjihad dia dapat menghancurkan suatu kekuatan yang melebihi sepuluh kali ganda.
Oleh itu, bagaimanakah orang kafir, musyrik dan mulhid menganggap jiwa mereka adalah barang paling berharga bagi diri mereka dan yakin bahawa mati itu datang bersama kedatangan musuh dan pergi dengan pemergian musuh?
8. Menjauhi perbuatan hina, berpada dengan yang ada
Iman kepada Allah mengangkat darjat manusia dan menimbulkan dalam dirinya sifat menjauhkan diri daripada perbuatan yang rendah martabatnya. Dia juga berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak memerlukan pemberian orang, menyucikan hatinya daripada sifat tamak, rakus, dengki, rendah diri dan segala sifat buruk serta kecenderungan yang hina. Tidak terlintas dalam hatinya memilih jalan yang keji untuk mencapai kejayaan kerana dia yakin rezeki berada di tangan Allah. Dia yakin Allah melimpahkan rezeki kepada orang yang dikehendaki-Nya dan menentukan kepada orang yang dikehendaki-Nya. Tidak ada kemuliaan, kekuatan, kemasyhuran, kekuasaan, pengaruh dan kemenangan melainkan di tangan Allah. Manusia wajib berusaha dengan cara yang mulia menurut kemampuannya. Kejayaan atau kegagalan bergantung kepada Allah. Tidak ada yang dapat menahan apa yang diberi-Nya dan tidak ada yang dapat memberi apa yang ditahan-Nya.
Orang kafir, musyrik dan mulhid menyangka bahawa kejayaan mereka atau kegagalan bergantung kepada bantuan kekuatan duniawi atau halangannya. Mereka adalah hamba kepada keserakahan dan kerakusan. Untuk mencapai kejayaan mereka tidak segan menerima rasuah, mengampu, bersekongkol dan melakukan pelbagai lagi cara yang keji. Mereka menggigit jari kerana dengki melihat kejayaan orang lain. Mereka menggunakan tipu daya untuk menjatuhkan orang lain atau orang yang menentang mereka.
9. Terikat dan patuh pada peraturan Allah
Perkara paling penting dalam hubungan ini ialah iman kepada Allah menjadikan manusia terikat dan patuh kepada undang-undang Allah. Orang yang beriman yakin Allah mengetahui segala sesuatu. Malah Allah lebih dekat kepada diri mereka daripada urat leher mereka sendiri.
Orang beriman yakin apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan di dalam gelap ataupun bersendirian, Allah tetap mengetahui. Apabila terlintas dalam hatinya sesuatu yang tidak baik, Allah tetap mengetahui. Walaupun dia dapat menyembunyikan perbuatannya daripada orang lain, dia tidak dapat menyembunyikannya daripada Allah. Walaupun dia dapat melepaskan dirinya daripada sebarang kekuatan, dia tidak dapat melepaskan dirinya daripada Allah.
Oleh itu semakin kukuh iman ini melekat dalam jiwa seseorang, semakin tekun ia mengikuti hukum Allah dan menjauhi larangan-Nya. la bergegas menuju kebajikan dan mengerjakan apa yang diperintah oleh Allah sekalipun di dalam gelap mahupun bersendirian. Di hadapan matanya sentiasa terbayang pengadilan tinggi yang hampir dan tidak ada orang yang dapat melepaskan diri daripada pemeriksaan-Nya.
Iman kepada Allah menjadi syarat pertama dan paling utama untuk menjadikan seseorang manusia itu Muslim kerana seorang Muslim ialah hamba yang taat dan patuh hanya kepada Allah SWT.