Solat Yang Khusyuk

Tuesday, May 20, 2008

Kejayaan semua manusia, di dunia dan di akhirat dalam agama, dilihat daripada sudut sejauh mana kita mentaati perintah Allah dengan cara Nabi saw.

Dunia sementara akhirat kekal abadi. Berjaya di dunia berjaya sementara tetapi berjaya di akhirat kekal abadi. Gagal di dunia gagal sementara tetapi gagal di akhirat kekal abadi.
Kejayaan kita bukan dalam logik akal atau apa yang zahir di depan mata kita. Sebuah tamsilan:
"Apabila bulan mengambang, seorang yang lalu di tepi tasik atau sungai akan nampak seolah-olah bulan tersebut berada di dalam air. Tetapi tidak, bulan itu sebenarnya masih tetap ditempatnya di langit."
Begitu juga kejayaan kita, bukanlah seperti sangkaan kita. Seumpama dalam pangkat, harta, kecantikan atau kuasa. Tetapi kejayaan kita sebenarnya dalam redha Allah SWT.
Untuk mengamalkan agama maka kita memerlukan iman. Hanya dengan imanlah kita mampu meninggalkan keinginan perasaan. Iman ini pula selalu turun naik.
Kalau turun naik, maknanya masih ada iman. Tetapi masalah kita hari ini ialah iman kita keluar masuk. Ditakuti ketika nak mati iman kita keluar dari diri kita, wal'iya zubillah.
Apabila iman kuat segala perintah Allah mudah untuk dilaksanakan tetapi bila iman lemah, nak sebut nama Allah yang indah pun tidak ada kekuatan.
Untuk mengetahui di mana tahap iman kita maka kita hendaklah mengukurnya dengan solat.
Kenapa dengan solat? Jawabnya, kerana solat adalah sebesar-besar dan semulia-mulia perintah yang diturunkan oleh Allah ke atas kita.
Untuk perintah yang lain, Allah turunkannya melalui perantaraan malaikat Jibril. Tetapi untuk perintah solat, Allah menjemput sendiri kekasih-Nya Nabi Muhammad saw untuk menerimanya.
Solat adalah julung-julung perintah yang akan disoal oleh Allah di hari akhirat nanti. Jika solat lepas, maka yang lain Insya Allah akan menjadi mudah. Tetapi jika solat tidak lepas, maka yang lain akan gagal.
Barang siapa dapat menjaga solat 5 waktu dengan cara berjemaah (untuk lelaki), maka Allah janjikan 5 ganjaran:
1. Dilepaskan dari kesempitan hidup dan mendapat keberkatan rezeki.
2. Dilepaskan dari siksa kubur.
3. Dapat buku catatan amal melalui tangan kanan.
4. Melintas Titian Sirat pantas seperti kilat.
5. Masuk jannah Allah tanpa hisab.
Kita perlu berusaha supaya solat kita khusyuk dan khudu'. Maksud khusyuk ialah solat kita penuh dengan tumpuan terhadap Allah.
Sepertimana sahabat-sahabat Nabi saw, solat mereka begitu khusyuk dan nikmat sehinggakan selemah-lemah sahabat pun diriwayatkan sekurang-kurangnya mereka solat 200 rakaat setiap hari.

Kisah solat para sahabat:-
Kisah 1:
Pada suatu ketika, peha Sayyidina Ali r.a. telah terkena panah. Apabila cuba dicabut, beliau merasa begitu sakit. Seseorang telah mencadangkan supaya panah itu dicabut ketika beliau sedang solat.
Apabila selesai solat, beliau bertanya sudahkah mereka mencabut panah tersebut. Mereka menjawab ya. Apabila ditanya, apakah beliau tidak merasa sakit? Beliau menjawab, beliau sedikit pun tidak merasa sakit.

Kisah 2:
Pada suatu ketika di medan jihad, Nabi telah bertanya kepada para sahabatnya, siapakah yang bersedia untuk menjaga khemah beliau pada waktu malam. Dua orang sahabat telah bersetuju. Seorang bernama Ammar bin Yasir r.a dan seorang lagi bernama Abbad bin Basyir r.a.
Pada malam itu mereka telah berkawal. Abbad telah mencadangkan kepada Ammar supaya mereka berkawal secara bergilir. Beliau akan menjaga pada sebahagian malam dan Ammar akan berkawal pada sebahagian malam lagi. Ammar telah bersetuju.
Maka Abbad telah berkawal. Sementara berkawal beliau telah mendirikan solat. Dalam solatnya itu, beliau telah membaca surah Al Kahfi.
Seorang peninjau musuh telah melihat beliau sedang solat lalu melepaskan panah kepadanya. Satu anak panah telah kena pada badannya. Apabila melihat beliau masih tetap solat, maka musuh telah melepaskan panah yang kedua.
Bagaimanapun, Abbad tetap juga solat. Musuh tersebut melepaskan panah yang ketiga, lalu Abbad memberhentikan solatnya. Apabila melihatkan keadaan itu dan terlihat Ammar yang berada di situ, maka pihak musuh menyangkakan masih ramai lagi tentera Islam yang berkawal di situ. Lalu musuh tersebut telah melarikan diri.
Dengan badan yang berlumuran darah, Abbad telah mengejutkan Ammar yang sedang tidur. Melihatkan badan sahabatnya yang berlumuran darah itu, Ammar begitu terkejut. Ammar bertanya mengapa beliau lambat membangunkannya. Dia menjawab, ketika itu beliau merasa sungguh nikmat dan malu dengan Allah untuk menghentikan solatnya.
Tetapi apabila panah yang ketiga mengenai dirinya, beliau bimbang akan keselamatan Nabi saw, maka kerana itulah dia memberhentikan solatnya. Kalau tidak sudah pasti dia tidak akan menghentikan solatnya dan rela mati dalam keadaan demikian.

Lihatlah mutu solat para sahabat. Bagaimana pula dengan solat kita hari ini? Seekor nyamuk pun boleh merosakkan solat kita.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan neraka Waillah bagi orang yang lalai dalam solatnya."
(Surah Al-Ma'un)
Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk kita melaksanakan solat dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Wallahu'alam.